[VIDEO] Gaji minimum: Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara lain
SHAH ALAM - Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kebanyakan syarikat dan majikan tidak bersetuju dengan kadar gaji minimum sekitar RM1,500 dilihat tidak sensitif terhadap golongan kelas pekerja yang terkesan peningkatan kos sara hidup akibat inflasi ekonomi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, P Prabakaran berkata, Perdana Menteri sepatutnya membentangkan solusi bagaimana rakyat Malaysia dapat mencapai paras gaji minimum.
Menurutnya, Malaysia sudah jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain dalam isu penetapan paras gaji minimum.
“Untuk rekod, purata gaji pemegang ijazah semenjak 20 tahun lalu juga masih lagi sama iaitu bermula dengan RM2,000.
“Hari ini kita masih membincangkan untuk menaikkan gaji minimum sekitar RM1,500 sahaja sedangkan di negara jiran lain graduan mereka sudah mendapat hampir RM3,000 untuk permulaan kerjaya mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pada 19 Februari, Perdana Menteri mendedahkan banyak syarikat dan juga majikan tidak bersetuju dengan kadar gaji minimum sekitar RM1,500.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan melaksanakan perbincangan dengan semua majikan untuk penetapan kadar gaji minimum yang baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.
Mengulas lanjut, Prabakaran berkata, laporan Kebolehpasaran Graduan yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menunjukkan rata-rata gaji graduan baru pada tahun 2020 menjunam.
Tambah beliau, kebolehpasaran graduan juga jatuh dari 86.2 peratus pada 2019 kepada 84.4 peratus pada tahun 2020.
“Data yang dikongsikan juga mendapati bilangan pemegang ijazah pertama baru yang memperoleh pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan telah meningkat daripada 50.7 peratus pada tahun 2019 kepada 53.6 peratus pada tahun 2020.
“Keadaan ini adalah satu trend yang sangat membimbangkan. Apa guna beliau melancarkan Karnival Kerjaya Jamin Keluarga Malaysia jika hal berkaitan gaji pun beliau masih terkial-kial untuk melaksanakannya?
“Peningkatan gaji wajar dilaksanakan berdasarkan kadar inflasi semasa dan indeks harga pengguna (CPI).
Beliau boleh sahaja mengumumkan peningkatan gaji secara berperingkat-peringkat bermula di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Melaka seterusnya di negeri-negeri lain.,” ujarnya.
Jelas Prabakaran, Perdana Menteri perlu membuat polisi yang lebih mesra rakyat bukannya mesra kapitalis.
“Sudah banyak kajian dilakukan dan realiti hidup hari ini juga makin mendesak akibat kenaikan kos sara hidup yang tinggi, harga barang yang makin melambung dan sebagainya.
“Perkara ini juga sudah acapkali dibentangkan namun ia masih gagal diterjemah dalam bentuk tindakan.
“Perlu diingatkan konsep yang dilaungkan beliau adalah Keluarga Malaysia, bukan Keluarga Kapitalis,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!